Cerpen Hamra' Mengimbau Kematian Para Nabi








 "Saya nak berubah kak!," tegur seorang kaum hawa dengan penuh kesedihan. Jatuh tersungkur langkahnya, mukanya ditundukkan ke lantai.

"Adik sudah pun berada dalam zon ingin berubah, Inilah langkah pertama ..." sapa Hamra'.

Ringkas bunyinya. Namun menusuk di jiwa. Kaum hawa itu nampaknya masih muda remaja lagi. Berapa ya agaknya umurnya? Di mana ya datangnya secara senyap? Masih menjadi tanda tanya Hamra' namun disembunyikan soalan itu.

"Tidak kak, saya masih di awangan lagi. Masih hingusan" Menangis teresak-esak.

"Mari sini, duduk rapat-rapat dengan kakak," Hamra' mempersila kaum hawa itu duduk di hadapan masjid.

Waktu itu, petang bertandang, suram saja langit. Seperti mahu hujan tapi tiada pula tanda gerimis bertandang. Tiada siapa pun berada di masjid itu. Hanya Hamra' dengan seseorang kaum hawa yang misteri. Kehadiran kaum hawa itu membuatkan Hamra' yang sedang membawa Al-Quran kaget. Tidak pernah ada bunyi tangisan di masjid.

"Kak, ana hamba yang berdosa di dunia ini, hati ana sentiasa memikirkan kematian"

"Kalau adik kata begitu, hati akak jua punya jawapan yang sama. Tiadalah manusia yang tidak takut akan kematian. Namun keramaian mereka sering tidak ambil peduli,"

Syeikh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni ada menulis,

"Sesiapa yang mengatakan "Saya tidak pernah berbuat dosa, maka dia benar-benar berdusta kepada Allah,"

"Nampak bukan, akak mahupun enti juga punya dosa sdn berhad, Tiada manusia yang tidak berlumpuran dosa,"

Kaum hawa itu terdiam. Nangisnya sudah makin pudar. Tidak diajukan lagi soalan, tapi dia seperti inginkan 'sesuatu jawapan yang tepat dan misteri.

"Sudikah enti mendengar tentang kewafatan Para Nabi,? soal Hamra'.

"Berapa lama ya kak Hamra'? Ana takut tidak sempat mendengar sehingga habis," jawab kaum hawa itu. Tangannya memegang tangan Hamra'. Terasa sejuk, namun Hamra' biarkan. Kasihan dilihat pada kaum hawa itu.

"Tidak lama, akak ceritakan sedikit saja ya"

"Baiklah kak, tapi sudi akak pinjamkan ana bahu akak? kepala ana pening kak, barangkali menangis tadi"

Kepala Hamra' dianggukkan sedikit, dilemparkan senyuman. Hanya satu difikiran Hamra', perlunya husnuzon'.

"Begini proses kematian yang menjemput para nabi dan rasulNya ...


KEWAFATAN NABI ADAM

Dilaporkan daripada Abdullah bin Imam Ahmad, Hadbah bin Khalid memberitahu kami, Hamad bin Salamah memberitahu kami, daripada Hamid, daripada Hasan Basri, daripada Yahya bin Dhamurah as-Sa'adi,beliau menceritakan,

"Aku pernah melihat Syeikh di Madinah berbicara, lalu aku bertanya kepada beberapa orang perihal syeikh itu." Mereka menjawab, "Dia adalah Ubay bin Kaab."

Ubay bin Kaab berkata "Sesungguhnya pada masa di ambang kematian, Adam berkata kepada anak-anaknya,

"Hai anak-anakku, aku mahukan buah-buahan di syurga."

Mereka pergi mencari buah-buahan itu untuknya. Kemudian, mereka ditemui oleh para malaikat yang membawa kapur barus dan kain kafan, manakala anak-anak Adam membawa kapak, parang, dan golok.

Para malaikat itu berkata,

"Hai anak-anak Adam, apa yang kamu semua mahukan dan apa yang kamu semua cari?

"Bapa kami sedang sakit dan beliau mahukan buah-buahan dari syurga," jawab mereka.

"Pulang kamu semua. Sesungguhnya, bapa kamu sudah mendapatkannya," sahut para malaikat.

Kemudian, para malaikat datang. Pada masa Hawa melihat mereka, Hawa mengetahui mereka adalah malaikat. Kemudian, Hawa berlindung di belakang Adam.

Adam berkata, "Menjauh dari hadapanku dan malaikat Tuhanku."

Selepas itu, para malaikat mencabut nyawanya. Kemudian memandikan, mengapankan, dan memercikkan tubuhnya dengan wangi-wangian. Kemudian, mereka menggali liang lahad untuknya. Seterusnya mereka melaksanakan solat jenazah untuk Adam. Seterusnya, mereka memasukkannya ke dalam kuburan dan mengambusnya.

Kemudian mereka berkata, "Hai anak-anak Adam, seperti ini aturan untuk kamu semua dalam mengurus jenazah,"

"Begitulah kisah kewafatan Nabi Adam," suara Hamra' memecah kesuraman senja.

"Masya'Allah. Kak, ana masih boleh bertahan. Ceritakan lagi kisah Nabi seterusnya," berketar-ketar suara kaum hawa yang bertudung labuh itu. Akan ada titisan air mata yang berjurai.

KEWAFATAN NABI SULAIMAN

Dalam buku al-Qadar, Abu Daud menceritakan Usman bin Abi Syaibah memberitahu kami, Qabishah memberitahu kami, Sofyan memberitahu kami, daripada Al-A'masy dan Khaitsamah, beliau bercerita, Sulaiman bin Daud pernah berkata pada Malaikat Maut,

"Sekiranya engkau mahu mencabut nyawaku, khabarkan kepadaku."

Malaikat Maut menjawab,

"Aku tidak mengetahui lebih daripadamu berkaitan hal itu, melainkan hal itu adalah buku yang diserahkan kepadaku dan di dalamnya disebutkan nama individu-individu yang akan mati."

Asbagh bin al-Faraj dan 'Abdulullah bin Wahab menceritakan, daripada Abudurrahman bin Zaid bin Aslam, beliau bercerita, Nabi Sulaiman pernah berkata kepada Malaikat Maut ,

"Sekiranya engkau diperintah mencabut nyawaku, beritahu kepadaku." 

Kemudian, Malaikat Maut mendatanginya seraya berkata,

"Wahai Sulaiman, sesungguhnya aku sudah diperintahkan mencabut nyawamu. Engkau sudah menjalani hidup beberapa saat."

Kemudian Nabi Sulaiman memanggil jin-jin dan menyuruh mereka mendirikan sebuah bangunan. Jin-jin itu segera mendirikan bangunan tinggi yang diperbuat daripada kaca tanpa pintu. Kemudian, Nabi Sulaiman mengerjakan solat dan bersandar pada tongkatnya.

Selepas itu, Malaikat Maut mendatanginya dan mencabut nyawanya pada masa beliau sedang bersandar pada tongkatnya dan beliau tidak lari daripada Malaikat Maut. Pada saat itu, jin-jin sedang bekerja untuk Nabi Sulaiman. Sesekali mereka menoleh ke arah Nabi Sulaiman.

Melihat  keadaannya sea-akan sedang bersandar pada tongkatnya, mereka menyangka Nabi Sulaiman masih hidup.

Kemudian, Allah swt mengutus binatang yang tinggal di tanah supaya memakan tongkat Nabi Sulaiman. Tongkat itu rapuh dan akhirnya roboh. Pada masa jin-jin itu melihat Nabi Sulaiman tersungkur dari tongkatnya, mereka menjadi huru-hara dan melarikan diri.

Seterusnya, Ibnu Mas'ud menambah,

Itu makna pernyataan Allah dalam surah Sabak, ayat 14.

"Selepas Kami menetapkan kewafatan Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka perihal kematiaannya melainkan semut putih iaitu anai-anai yang memakan tongkatnya. Apabila tongkat itu tumbang, ternyata sekiranya golongan jin itu bersedia, pasti mereka mengetahui perkara yang ghaib dan mereka tidak tinggal terlalu lama di dalam azab ataupun kerja berat begitu hina."



"Subhanallah. Ya Allah, lain pula jadi pada proses kewafatan Nabi Sulaiman. Ana baru tahu ni," ujar kaum hawa misteri itu.

Hamra' sekadar tersenyum. Dia ingin lagi meneruskan kewafatan Nabi yang begitu disayanginya.

"Sudikah enti mendengar kewafatan Nabi Muhammad saw, Nabi terakhir kita?
'
"Sudi, nawaitu ana kuat ingin mendengarnya kak, ana kuat mahu Allah mengambil nyawa ana selepas mendengarnya, tapi boleh akak janji sesuatu pada ana?" jelas kaum hawa itu dengan sayu.

"MasyaALLAH ada juga manusia yang sudi mendengarnya ya Allah. Tambahkan kecintaan kami padaMU ya Rabb" monolog Hamra."

"Apa dia mawar agama?"

"Ana cintakan Sang Khaliq melebihi dunia, sampaikan kerinduan ana pada ummi dan walid ana kak, ana tidak pernah merajuk pada mereka, ana sayang mereka setulus hati!" senyum kaum hawa itu.

Hamra' terus menjawab,

"Selepas akak menceritakan pada enti, kembalilah pulang kepangkuan keluargamu ya? Pasti mereka juga menyayangimu,"

"Bilznillah..."



KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW

Allah menyatakan dalam surah Al-Anbiyak, ayat-34,

"Kami tidak menjadikan manusia sebelum kamu hidup kekal. Oleh itu, sekiranya kamu mati, adakah mereka kekal hidup?"

Melalui buku Durratun Nashihin, tulisan Sayyid Utsman bin Hasan bin Ahmad asy-Syakir al-Khaubawi, hadis daripada Ibnu Mas'ud yang panjang telah menceritakan proses menjelang kematian Nabi Muhammad saw.

Ibnu Mas'ud berkata,

Pada masa kematian nabi sudah dekat, kami berkumpul di rumah ibu kita ummul mukminin, Aisyah. Kemudian, nabi memandang kami dan air matanya berlinangan. Nabi berkata lagi,

"Selamat datang, semoga Allah mengasihi kalian. Aku berwasiat kepada kamu semua supaya bertakwa dan taat kepada Allah. Sesungguhnya sudah dekat perpisahan dan sudah hampir waktunya aku pulang kepada Allah dan menuju Syurga Marwa"

Ali perlu memandikan aku, al-Fadhl bin 'Abbas yang mengucurkan air, dan Usamah bin Zaid membantu kedua-duanya. Kapankan aku dengan pakaian-pakaianku sekiranya kamu mahu ataupun kapankan aku dengan kain putih dari Yaman. Apabila kamu sudah memandikan aku, letakkan aku di atas papan ini, di tepi liang lahadku.

Kemudian, keluarkan jenazahku sebentar kerana yang pertama menyembahyangkan jenazahku adalah Allah. Kemudian Jibrail, kemudian Mikail, diikuti dengan Israfil, seterusnya malaikat Maut bersama tentera-tenteranya dan terakhir seluruh malaikat yang lain. Selepas itu, masuk kamu semua bagi menyembahyangkan aku secara berkumpulan."

Aapabila mendengar isyarat perpisahan nabi, mereka menjerit dan menangis seraya berkata,

"Ya Rasulullah, engkau adalah rasul kami yang membuat kami bersatu dan pemimpin kami. Sekiranya engkau sudah pergi daripada kami, kepada siapakah kami dapat merujuk?"

Rasulullah menjawab,

"Aku tinggalkan kamu semua dengan hujah dan tarekat putih suci. Aku tinggalkan juga untukmu dua penasihat yang dapat berbicara dalam diam. Dapat berbicara adalah Al-Quran dan diam adalah maut. Apabila kamu semua mengalami kesulitan kembali kepada Al-Quran dan sunah. Apabila hati kamu menjadi keras, lunakkan dengan cara mengambil pengajaran berkaitan peristiwa maut atau kematian."

Kemudian, Allah swt mewahyukan kepada Malaikat Maut,

"Turun engkau kepada kekasihKu dengan rupa paling indah dan cabut rohnya dengan perlahan. Sekiranya dia mengizinkan engkau masuk, kamu masuk. Sebaliknya, sekiranya dia tidak mengizinkan engkau masuk, jangan engkau masuk dan pulang"

Malaikat Maut turun dengan rupa seorang Arab iaitu orang desa dan berkata,

"Assalamualaikum wahai penghuni rumah kenabian dan sumber kerasulan. Bolehkah aku masuk?"

Fatimah menjawab,

"Hai hamba Allah, sesungguhnya Rasulullah sedang sibuk dengan dirinya."

Kemudian Malaikat Maut menyeru kali kedua dan berkata,

"Assalamualaikum ya Rasulullah. Wahai penghuni rumah kenabian. Bolehkah aku masuk?" suara malaikat itu didengari Rasulullah dan beliau berkata,

"Wahai Fatimah, siapakah di pintu itu?"

Fatimah menjawab,

"Lelaki desa memanggil namamu dan saya katakan, Rasulullah sedang sibuk dengan dirinya. Kemudian, dia berseru kali kedua dan saya katakan seperti itu juga. Dia menatap saya dengan tatapan yang tajam sehingga kulit saya menggigil, hati saya menjadi takut, semua sendi saya gementar, dan wajah saya menjadi pucat."

Rasulullah bertanya,

"Wahai Fatimah, tahukah kamu siapa dia?"

"Tidak," jawabnya

Rasulullah menyatakan,

"Dia pemutus segala kelazatan, pemenggal segala kemahuan, pemecah-belah kumpulan-kumpulan yang mengosongkan rumah-rumah, dan meramaikan ahli kubur."

Fatimah menangis dengan kuat dan berkata,

"Oh...Celakanya kerana matinya penutup nabi-nabi. Oh... Bencana kerana matinya sebaik-baik individu yang bertakwa dan terputus pemmpin orang-orang suci. Alangkah menyesalnya atas terputusnya wahyu dari langit. Sesunggunya hari ini, saya tidak lagi mendapat mendengar percakapan dan ucapan salam engkau"

Rasulullah berkata,

"Jangan engkau menangis, sesungguhnya engkau keluargaku yang mula-mula menyusuli aku,"

Kemudian Rasulullah berkata lagi,

"Masuk, wahai Malaikat Maut!" Malaikat Maut pun masuk. seterusnya berkata,

"Assalamualaika, ya Rasulullah."

Rasulullah menjawab,

"Wa'alaikumussalam, wahai Malaikat Maut. Apakah engkau datang bagi menziarah ataupun mencabut nyawaku?"

Malaikat menjawab,

"Aku datang bagi berkunjung dan mencabut nyawa sekiranya engkau mengizinkan aku. Namun, sekiranya tidak, aku akan kembali pulang."

Rasulullah bertanya,

"Wahai Malaikat Maut, di manakah engkau tinggalkan Jibrail?"

Dia pun menjawab,

"Aku tinggalkan dia di langit terendah, manakala para malaikat lainnya bertakziah kepadanya."

Tidak lama kemudian Jibrail turun, kemudian duduk di sisi kepala rasul. Nabi Muhammad saw berkata,

"Tidakkah engkau tahu, perkara maut ini sudah dekat?"

"Pasti ya Rasulullah," jawab Malaikat Jibrail.

Rasulullah berkata,

"Khabarkan kepadaku, kemuliaan apa yang aku peroleh di sisi Allah?"

Jibrail menjawab,

"Sesungguhnya pintu-pintu langit sudah dibuka dan para malaikat sudah berbaris bersaf-saf menunggu kedatangan rohmu di langit. Pintu-pintu syurga sudah dibuka dan semua bidadari sudah berhias menunggu kedatangan rohmu."

"Alhamdulillah, segala puji milik Allah," kata nabi.

Kemudian, nabi berkata lagi,

"Wahai Jibrail, khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku pada hari kiamat?"

Jibrail menjawab,

"Aku khabarkan kepadamu, Allah menyatakan,

"Sesungguhnya aku mengharamkan syurga atas nabi-nabi yang lain sebelum engkau memasukinya dan aku haramkan syurga atas umat-umat lain sebelum umatmu memasukinya."

Rasulullah berkata,

"Sekarang hatiku berasa lapang dan kesedihanku hilang."

Kemudian, nabi berkata,

"Wahai Malaikat Maut hampiri aku."

Malaikat itu mendekat bagi mencabut rohnya. Apabila roh mencapai pusar atau pusatnya, Nabi Muhammad berkata,

"Wahai Jibrail, alangkah hebat kepedihan maut ini."

Jibrail memalingkan wajahnya sehingga nabi berkata,

"Wahai Jibrail, apakah engkau tidak suka memandang wajahku?"

Jibrail menjawab,

"Wahai kekasih Allah, siapakah yang kuat hatinya memandang wajahmu dalam keadaan sakaratul maut?"

Dan bagaimana pula dengan kita sebagai manusia biasa? Adakah kita bakal berasa lebih pedih daripada itu?


.......

"Begitulah detik proses kewafatan Nabi Muhammad saw," ujar Hamra'.






Suasana terus sepi. Kaum hawa di sisinya masih lagi meminjam bahunya. Hamra' berasa sesuatu yang aneh. Langsung saja dia memegang kepala kaum hawa itu. MasyaAllah! Mukanya pucat lesi. Wanita itu sudah tidak bernafas lagi. Apa mungkin dia sudah meninggal dunia sebentar tadi? Hamra' terus meminta pertolongan. Air matanya sudah berjuraian.

Sekumpulan wanita bergegas pantas ke arah Hamra'. Hamra' tidak pernah berada di kondisi seperti itu.

"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ)"



"Anak siapakah ini, wahai Hamra'?

Dengan keadaan lemah, Hamra' menjawab.

"Maafkan saya wahai makcik, saya juga tidak mengenalinya, dia menegur saya di masjid tadi, berkata bahawa dia ingin berubah sambil menangis tersesak-esak, selepas itu saya hiburkan hati beliau yang gundah gulana itu dengan menceritakan kewafatan para Nabi,"

"Tidak mengapa kalau begitu, mari kita angkat jenazahnya ini ke masjid dulu," ujar seorang makcik.

Tidak lama kemudian, bilal dapat menjejaki keluarga wanita itu. Setelah segala persiapan dan pengurusan jenazah dilakukan, ibu kepada kaum hawa itu terus menghampiri Hamra'. Menangis tidak henti-henti.

"Kamu tahu nak, anak makcik ini sudah dua hari tidak makan," sapa makcik itu.

"Saya tidak tahu wahai makcik, sabar ya? namun, bolehkah saya bertanya, sebelum dia meninggal dunia, dia ada memberitahu saya yang dia ingin berubah, saya tidak faham maksudnya makcik."

Makcik itu terus menangis. Hamra' cuba tenangkan hati makcik yang baru kehilangan seorang mawar agamanya.

"Baru-baru ini dia mengeluh berkaitan penyakit yang dihadapinya. Keadaan kesihatannya sudah begitu menurun dan berasa bimbing sekiranya Allah lebih dahulu menjemput ajalnya sebelum beliau sempat melihat Kaabah (Baitullah). Memandangkan anak makcik pelajar kelulusan pondok, dia mendapat tawaran meneruskan pelajaran ke sana, namun makcik menghalang kerana penyakitnya. Dia terus merajuk dan memghilang. Kalau makcik tahu jadi begini, sudah pasti makcik tidak membiarkan dia pergi menjauh dari makcik," kata-katanya membuatkan Hamra' juga tersentuh.

"Wahai makcik yang penyabar, mahukah makcik mendengar rangkain momen indah bicara anak makcik lafazkan pada saya?" Hamra' terus memegang tangan wanita berusia itu.

Wanita berusia yang memakai tudung labuh berwarna hitam terus mengangguk. Dia masih dalam keadaan sedih. Hati ibu mana tidak berduka lara kehilangan mawar agama? Gugurnya mawar agama yang dicintai.

Hamra' terus berbicara,

"Anak makcik merindui ummi dan walid, dia tidak pernah merajuk pada makcik, tapi amat menyayangi makcik setulus hatinya, lagi satu mungkin kata-katanya sudah dimakbulkan, dia memilih untuk mencintai Sang Khaliq melebihi segalanya. Sekarang, damailah dia berada di sisi insan yang dicintainya. Allah swt,"

"Perihal segala kondisi, percayalah makcik, Allah swt punya jawapan tersendiri. Mengadulah pada Allah, bicara rindu makcik pasti sampai kepada anak makcik,"

Terus makcik berusia 50-an itu memeluk Hamra'. Dia mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kerana Hamra' telah menyenangkan hatinya dan dia juga tenang kerana anaknya itu mati dalam keadaan husnul khatimah. Wajahnya kelihatan tersenyum. Selamat tinggal anakku! monolog wanita berusia itu. Lalu ditinggalkan Hamra' keseorangan.

Sedang manusia semua bergegas pulang, Hamra' merasa sedih yang amat.

"Ya Allah, terima kasih atas ketabahan yang begitu besar dalam diriku, sesungguhnya saat aku menyenangkan hati manusia yang kian karam, aku tetap masih anak yatim piatu, tiada kedua ibu bapa. Sungguh benarlah bicaraMU, ujianMU adalah guru yang tidak mampu berbicara, tapi sangat mendidik"

Hamra memejamkan matanya, ditariknya nafas seterusnya dihembus. Senyuman diraut wajahnya menghilangkah gundah.

"Wahai mawar agama yang telah pergi, akak Hamra' mendoakanmu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Kini jawapanmu sudah Allah swt menjawabnya. Berbahagialah,"

Istiqamah* Allah swt tanpa jemu menghampiri Hamra'. Kemudian Allah swt mencantumkan kembali deraian-deraian hati pada asalnya.



Segalanya sudah berakhir.



Buatmu sahabat-sahabat,

Tabahkan hati, bekerjalah untuk DUNIA sekadar keperluanmu, dan beramallah untuk AKHIRAT untuk kamu kekal di dalamnya (selama-lamanya)

Ayuh melangkah?

Sama-sama kita mengejar Cinta Allah swt yang hakiki.