ALLAH Rindu Munajat Cinta Kita :)

Semoga Allah sentiasa melebihkan ni’matNya untuk diri ini hingga tiba saat itu :)

Assalamualaikum wbt buatmu sahabat perjuangan, sahabat dalam diam malah sahabat yang berlari mengejar cinta Sang Khaliq. Mengapa berhenti? Teruskan saja larianmu sehingga kepenatan itu dibalas dengan kebahagiaan yang hakiki kelak. Allah itu, Dialah Tuhanku, Dialah Rabbku.

Allahu solli ala Muhammad, buatmu junjungan Nabi Muhammad saw. Sungguh diri ini merindukan kewujudanmu. Bahagiakah dirimu di sisi Ilahi? Mungkin benarlah, sebuah cinta itu terlahir kerana fitrah yang diberi olehNya. Kerana fitrah itu. Sebaik mungkin ana juga mahu titipkan fitrah sekecil ini buat junjungan Nabi Muhammad saw :)

Tatkala jari-jari ini menaip setiap tinta, hati ini terasa berdegup kencang sambil menulis. Lantas, perasaan hiba hadir bertubi-tubi dalam diri ini. Ya Allah. Apakah perasaan ini sentiasa terjadi pada umatMu yang lain?

Yang dirinya menantikan secebis keinsafan dalam diri, mengingatiMu dengan zikirullah tanpa perkara melalaikan atau pun jua keadaan yang mahukan dirinya berjihad di medanMu? Astagfirullah ya Allah amatlah kami berharap akan ada jawapan setiap perasaan yang berlalu dan pergi begitu sahaja.

"Blog enti tak di'update ke? Kenapa tiada pengisian baru? Enti sedang kerja?"


Allahurabbi hati adik dicintai Allah maka itulah yang memperlihatkan kebaikan untuk terus berjuang! Kakak bangga dik :')


Allahuakbar, jazakumullahu khairan katsiran untuk kiriman kalian. Sungguh Allah masih detikkan untuk menanya ana. Mungkin. Setiap kehilangan ana di blog ini menjadi tanda tanya. Persis yang berlaku pada pesawat kapal terbang yang hilang dek pandangan mata kita. Kabur seketika tanpa apa-apa informasi. Siapa kita untuk menentukan segalanya? Pastinya Allah swt lebih mengetahui segala yang terjadi, disebalik kehilangan itu kita teruskan sahaja berdoa, husnudzon malah jangan pernah menggunakan teori-teori aneh untuk mengesahkan di mana keberadaannya. Sama-sama kita menadah tangan berdoa selalu, PRAY FOR MH370# Untuk persoalan sahabat-sahabat lain tentang diri ana, ana akui blog usang ini jarang ditegur oleh tangan ana sendiri semenjak ana masih menunggu keputusan SPM 20 haribulan ini. Doakan ana ya sodiqi wa sodaqati? Allah. Allah. ^_^

Ana tidaklah bekerja, cuma masa terluang itu ana banyak curahkan pada keluarga terutamanya, sahabat malahan juga ana masih dalam perancangan untuk melakar sesuatu yang jauh lebih indah. Allahuakbar. Seketika diberi Allah satu kurniaan, umur yang kini makin genap untuk berada di pemikiran yang matang orang kata, ana sendiri berteka-teki. Matang sudahkan ana ini? Justeru, ana akui kematangan seseorang itu bukan sekadar dilihat melalui ucapan sahaja walhal perbuatannya. Kematangan itu akan menyapa pada insan yang benar-benar mahukan dan mempunyai matlamat dalam hidup.

Ehh, macam mana tu matlamat hidup?

Persoalan sebegini sebenarnya akan menjadikan diri kita lebih berusaha untuk mengejar sesuatu yang sukar untuk kita merealisasikan impian kita. Mungkin sejak kecil kita mahu menjadi itu, ini, namun apabila menginjak remaja, pemikiran kita sudah terlari dari keanak-anakan dan lebih menjurus mencari minat sebenar. Tidaklah ana mengatakan mahu mencapai matlamat itu senang dari kata-kata pada dasarnya hakikatnya sukar. Benar bukan? Ya. Ana mampu menundukkan kepala dan akur. Setiap perancangan kita ini, kita mampu coretkan dalam sehelai kertas putih. Tetapi usaha selain mencoretkan itu perlu ada dan seiring. Jangan mudah menyerah dan jangan mudah terhenti di destinasi yang bukan pilihan kita. Kerana. Sesungguhnya kita masih mampu mengejar apa yang diingini dan bila sudah mendapatkannya. Jangan pula riak. Kerana sifat itu lebih menjurus untuk mengotorkan hati kita makin gelap dan berasa bangga. Tidakkah kita melihat rintihan dan keperitan umat Islam yang lain? Mereka juga ada matlamat sendiri. Walau sesulit mana keadaan mereka, jiwa mereka masih kuat untuk berjihad dan yakin pada Yang Maha Esa, sedang kita lena semalaman mereka berjaga malam demi mempertahankan negara, berjuang membela nasib tanpa mengenal usia atau jantina. Semangat mereka berjuang melawan keganasan tanpa menghiraukan kematian. Kerana mereka sudah sedia tahu bahawa Allah s.w.t pasti memberikan balasan buat mereka di akhirat sana. Kentalkah kita persis mereka yang berada di bumi Gaza? Astagfirullah ya Allah. Terasa ujian mereka jauh lebih berat daripada diri ini.

Teringat pula firmah indah titipan Ilahi yang berbunyi:

"Ingatlah, Aku nescaya Aku akan mengingati kamu" (Surah Al-Baqarah 2:12)

Malah firman Allah swt juga dikhabarkan lagi daripada sabda Rasulullah saw, iaitu:


"Bahawasanya Allah azza wa jalla berfirman:

"Aku bersama hambaKu selagi dia mengingati-Ku dan kedua-dua bibirnya bergerak-gerak menyebut-Ku" (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Di setiap penjuru nubari seseorang yang sudah menginjak dewasa, mereka pasti punya perancangan lain selain sambung belajar, mencapai cita-cita, atau pun juga menikah? Lebih sainstifik untuk membina baitul muslim. Adakah diri sahabat ana yang membacanya juga sudah terfikir ke arah itu? Atau mungkin sudah ada calon yang bertamu di jiwa kalian? Senyum saja ya? Usah menjawab pada ana, ana tumpang gembira ke atas kalian. Bahkan ana tahu setiap perancangan cepat atau lambat pasti jodoh itu menyapa cuma kita perlu bersiap sedia bukan hanya menanti bagai pungguk rindukan bulan. Teruskan berdoa.

Allah berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu" (Ghafir 40:60)




Untuk sahabat ana yang sudah berfikir ke arah itu, ana ingin memberikan renungan pada kalian yang terindah. Di usia sebeginilah kita perlu berfikir dengan lebih matang untuk menjamin dunya fi akhirah lebih membahagiakan. Buatmu kaum adam yang sememangnya gagah dan perkasa, ketika mencari calon. Janganlah cari isteri tetapi carilah ibu kepada anak-anak. Buat kaum hawa yang jiwanya lembut, usah mencari suami namun carilah seorang ayah kepada anak-anak. Ketika melamar pula. Kita bukan sedang meminta kepada wali si gadis namun meminta kepada Allah melalui wali si gadis. Ketika akad nikah. Kita berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah azza wa jalla. Ketika melangsungkan majlis resepsi pernikahan. Catat dan hitunglah semua tetamu yang datang untuk mendoakan kita, kerana kita harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila kita berfkir untuk bercerai kerana sudah mensia-siakan doa mereka. Selama melayari hidup berkeluarga. Sedarilah bahawa jalan yang dilalui tidak selalunya jalan yang sentiasa ditaburi bunga tetapi akan hadir juga semak belukar yang penuh onak dan duri. Yakinlah pada pasangan, kerana sebelum ini pernah berjanji untuk hidup bersama, namun tak mampu untuk bertoleransi bersama? Ketika rumahtangga goyang. Janganlah berpaling melepas tangan sebaliknya semakin erat berpegang tangan. Kerana Allah swt pasti akan membantu setiap permasalahan kita. Untuk yang masih belum punya apa-apa, anggap sajalah ana berkongsi ini untuk masa depan sahabat-sahabat semua :)


Wahai kaum hawa yang ana sayangi, kita punya naluri yang sentiasa serupa. Membezakan kita adalah cara kita menguruskannya. Makanya, sekeping hatimu itu jadikanlah untuk miliknya yang soleh, yang sedang menunggu kamu. Jangan pernah biarkan dicemari cinta semalam yang didustakan tanpa redha Ilahi. Semoga wahai hawa, esok dan hari-hari yang akan datang terus bersinar buatmu. Tetapkan di hati kesabaran yang tinggi, kerana Allah masih ada untuk kita mengadu rasa fitrah itu. Buatmu hawa yang sedang kecewa, senyumanmu itu mampu mengoncangkan dunia dari paksinya, teruskan langkah sopanmu ke depan, tinggalkan sahaja semalam demi hari yang bercahaya kelak. Mengapa perlu menangis mawar agama? Sedangkan hatimu sudah cukup terbeban. Usah penjarakan segalanya kerana Allah juga punya janji untuk kita. Hayatilah dalam jiwamu ^_^


Ada empat perjanjian Allah dengan hambaNya:

1. Jika nikmat Allah swt (tidak digunakan ke jalan maksiat dan syirik) disyukuri akan ditambah.

2. Jika kita ingat kepada Allah swt maka Allah swt juga akan mengingati kita. Sungguh indah bukan?

3. Jika berdoa kepada Allah swt, Allah swt akan menunaikan permintaan hambaNya. (Perlu berterusan)

4. Allah swt tidak akan mengazab mereka yang memohon keampunan kepadaNya. (Sungguh Allah swt Maha Pengampun)


Sungguh. Kita perlu sentiasa beringat juga, kita bukan yang memilih apa yang akan terjadi pada diri kita, sebaliknya Allah jualah yag berhak memilihnya. Ada juga yang asyik tertanya, sampai bilakah Allah akan mengabulkan doa kita itu? Sebenarnya sahabat, hak Allah semata-mata kerana Dia Maha Mengetahui masa yang paling sesuai dan baik untuk diberikan apa yang kita minta daripadaNya <3

Titipan khabar indah daripada Allah swt buatmu sahabat :



"Apabila dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku akan datang padanya dengan berlari"


Pejamkan matamu sebentar. Lafazkanlah kalimah ALLAH, ALLAH, ALLAH. Berulang kali sehingga bergetar hatimu. Sebak bukan? Titisan mutiara pasti kecundang di pipimu. Namun. Masih lalaikah kita di dunia ini? Allah pula masih rindu munajat cinta kita semua. Mengapa ditangguh? Mati itu pasti menjelma. Perbanyakkanlah amalan, ibadat yang jujur dan nawaitu yang tulus. Lantas apa lagi yang kamu mahukan dalam hidup ini? Syurga yang pasti! Mari kita berlari mengejar cinta Allah. Semoga Allah menemukan kita di aksara ana yang membuahkan amal-amal syurga. Biidznillah.

Semoga kalian tabah wahai kekasih Allah <3