Allah swt Itu Sweet ~


Bismillahirahmanirahim.



Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

SubhanAllah, tak mampu untuk ana gambarkan apa yang ada di dalam hati. Tatkala diri ini cuba mengelak daripada menjadikan laman ini seperti tempat meluahkan rasa sahaja. Cuba ana susun ayat dengan baik tetapi terlalu banyak yang ingin ana rahsiakan. Mengenangkan diri kita juga sebahagian daripada rahsia Allah.


Kini, hati cuba untuk berbunga bahasa mengungkap kata rindu dan juga cinta. Tetapi dirasakan sangat sukar kerana keringnya ilham yang ada. Terlalu lama tidak ana hias laman ini dengan bunga bahasa dan buah pemikiran, kala kesibukan yang menjelma mengekang jari-jemari ini untuk menaip kata-kata. Ya, memang sudah terlalu lama ana menyepikan diri. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengetahui.

 Semoga Allah memudahkan segala urusanku di dunia dan akhirat.




Pernah tak terfikir,  saat bila kita mula berkenalan dengan Allah? Kalau ditanya, mungkin ramai yang akan kata, lahir ke dunia ni mestilah terus kenal Allah. Umur 5 tahun dah di ajar Iqra'. Umur 6 tahun di ajar solat. Umur 8 tahun mula puasa penuh. Jadi, dah lama lah kita kenal Allah ni. Tapi kalau ditanya,
 Allah tu macam mana? Apa sifat-sifat Allah? Yang 20 tu.
Apa nama-nama Allah?
Yang 99 tu ...
Hmm ... belum tentu semua orang ingat. Belum tentu semua orang hafal. Paling penting, belum tentu semua orang tahu. Paling teruk, belum tentu semua orang benar-benar nak tahu. Yang tahu, kenal Allah bila solat. Kenal Allah bila mengaji. Kenal Allah bila puasa. Tapi, Allah kan ada di mana-mana. Tiap-tiap ketika. Tak sedar Allah itu sentiasa ada?

Ana?

Ana mula berkenalan dengan Dia pada tahun 2011. Hah? Baru 2 tahun?! Ye! Baru 2 tahun.

Habis tu, selama ni tak kenal Allah? Bukan tak kenal. Kenal, tapi tak cukup kenal. Jadi, buat-buat kenal.

2 tahun tu jangka masa yang cukup singkat. Kalau bayi baru lahir. Dah boleh jalan. Tapi bercakap, pelat lagi. Macam tu lah tempoh masa perkenalan ana dan Dia. Cukup pendek. Tapi, satu hal yang sangat-sangat ana kenal, pasti dan yakin tentang Dia. Allah ni kan ... SWEET~

Allah ini Sweet

Sweet? Ye! Sweet sangat!

Takkan ada manusia yang mampu jadi pendamping hidup setanding Dia.

Dia Pemberi Kekuatan
Ke mana ana pergi, Dia akan sentiasa di sisi. Menemani diri saat ana keseorangan, menemani diri saat ana kesedihan, menemani diri saat ana kegelisahan. Jadi, takkan pernah rasa takut sebab Dia ada.

Terkadang bila nak balik rumah dari tuition, badan terasa sangat penat.  Berjam-jam sepanjang hari, berkejar ke sana sini, nak balik rumah tersangat-sangat penat. Pernah sekali kat traffic light, sebab dah lama sangat tunggu, bila bersandar dekat tempat duduk, tak sedar terlena. Nasib baik Dia kejutkan. Lampu dah hijau! Okeh, gerak. Walapun dah ngantuk sangat, tapi Dia suruh kuatkan diri. Alhamdulillah, selamat sampai rumah dengan abah. Makan, solat, tidur.

Allah kan Maha Melindungi. Sweet kan?!

Bila kita letih dan hilang semangat, Allah tahu betapa kita telah mencuba sedaya upaya. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, Allah telah mengira titisan air matamu. Bila kita rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, Allah setia disisimu. Bila kita telah mencuba segalanya tapi tidak tahu tujuan, Allah ada penyelesaiannya. Bila tidak ada yang bererti buatmu, keliru dan kecewa, Allah adalah jawapannya …


"Tidakkah kamu tahu bahawa Allah memiliki kerajaan langit dan bumi? Dan tidak ada bagimu pelindung dan penolong selain Allah."
(Al-Baqarah: 107)


Dia Peneman Bicara

Banyak yang terpendam di lubuk hati. Tapi terkadang terasa nak meluahkan pada seseorang. Tapi terkadang ragu. Bukannya boleh dapat penyelesaian. Dan terkadang ada kata-kata yang tak terluah.

Tapi pada Dia, ana tak malu nak bercerita. Semua sekali! Walaupun terkadang ada kata-kata yang segan untuk dituturkan dengan kata-kata, tapi Dia kata tak apa. Tak perlu ucapkan dengan kata-kata pun. Tak perlu susahkan diri untuk susun ayat. Sebab Dia kata Dia dah tahu apa yang terpendam dalam hati ana tanpa perlu ana kata apa-apa. Wah! Allah tu sweet kan!

Kadang-kadang tanpa tangan menghulur bantuan. Terasa diri kembara sendirian.Mimpikan syurga idaman .Sedangkan diri tak tahan ujian.Kerdilnya diri bila menghitung keringat gugur.
Titisan air mata kecewa.Rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu
Mekar dalam jambangan setia pada perjuangan Islam ...
Pedih, sakit, pahit dan susah dalam memperjuangkan agama Allah itu satu nikmat yang tak akan dapat dilupakan. Islam itu indah dan berjuang di jalan itu tak pernah susah bila hati diserahkan kepada Allah. Istiqomahlah dalam kebaikan dan bermujahadahlah melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan kerana kita akan menghadapi ujian yang lebih besar iaitu hari Qiamat. Maka, lakukanlah segalanya kerana cinta dan kasih kita kepada Allah...

"Katakanlah, " Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya,"

 Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu."

(Ali 'Imran: 29)


Dia yang Kaya Raya

Selalukan kalau kita dengar cerita atau tengok kawan kita yang keluar dating tiba-tiba bawak balik banyak hadiah. Teddy bear lah, kad lah, bunga lah, baju, kasut dan etc. Banyak kan?  Selepas itu, semua orang mula lah puji. "Eh, bagus lah buah hati awak. So sweet~

Eleh, cukup sweet dah ke tu? Kalau yang buah hati itu sekadar guna duit loan, scholar, atau kerja nak belanja kita, mesti akan ada tika masanya kita kena jugak guna duit sendiri. Paling-paling duit tambang bas, teksi atau komuter nak keluar. Still! Duit kita akan kurang jugak. Siapa yang berani kata duit dia tak pernah kurang walau 1 sen pun setiap kali keluar? (Tapi sekarang 1 sen sudah tak laku. Jadi, 5 sen lah)

Tak cukup sweet tu ...
Kalau dengan Dia, Dia sangat kaya raya. Duit-duit yang ana dapat, semua daripada Dia. Bukan saja duit, semua yang ana ada sekarang ni, semua Dia yang bagi. Segala-galanya.  Macam mana? Hebat tak Dia. Ada ke manusia yang sehebat Dia? Pasti tiada!

Tapi kan, sebab Dia sangat sweet, Dia tak bagi semua ni pada ana directly. Nak tambahkan sweetness tu, Dia bagi melalui medium lain. Daripada ma abah, daripada sponsor ana dan lain-lain. Sebab kalau Dia bagi direct, Dia tahu ana akan segan sebab ana tak ada apa-apa pun nak bagi untuk balas balik apa yang Dia dah berikan pada ana. Sweetkan Allah?!

"Katakanlah (Muhammad), " Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab, "Allah." Maka katakanlah, "Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepadaNya)?"
(Yunus: 31)


Dia yang Pemaaf

Manusia ni susah hendak mengaku salah. Paling teruk, susah hendak meminta maaf.  Bukan?

Dengan Dia, ana ada BANYAK kisah tentang kesalahan, kesilapan dan... kemaafan.

Daripada mula ana lahir, sampailah umur 17 tahun sudah banyak kali sudah ana sakitkan hati Dia. Dia kata jangan buat, ana buat jugak. Apa yang Dia suruh buat, ana tak nak buat. Degil! Kalau dengan manusia, dah lama dah ana patut kena marah. Tapi, Dia tak pernah marahkan ana. Dia sabar layan kerenah ana. Sebab Dia tahu, masa tu ana tak betul-betul kenal Dia, ana tak benar-benar fahami Dia. Jadi, Dia bagi ana peluang lagi.

Tapi bila dah tahu, bila dah kenal, terkadang itu tetap jugak ana ulang balik kesalahan yang lalu. Tapi, dengan muka tak malunya, ana pergi minta maaf kat Dia balik. Dan Dia. .. selagi roh masih belum ditarik ke kerongkong... Dia PASTI akan tetap maafkan ana. Sweetnye~~

"Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Az-Zumar: 53)


Dia Pemberi Ketenangan

Keluh kesah. Resah gelisah. Perasaan yang setiap orang pasti pernah merasainya. Bila nak exam, bila kena siapkan homework  bila nak pergi interview etc.

"Aku kalau ada apa-apa masalah, aku tak kisah. Kalau dengar je suara Adam (bukan nama sebenar), hati aku mesti tenang." Huh ...

Kalau sesama perempuan?

"Sesama perempuan ini lain. Mereka tak faham sebab kita sama kan. Kalau dengan yang berlainan "makhluk" ni, lebih mudah untuk saling memahami. Cas yang sama kan saling menolak. Bila cas yang berlainan baru saling menarik."

Tapi, bila bergaduh...

"Benci betul la aku dengan si Adam (masih bukan nama sebenar). Dah banyak kali call, tapi tak angkat phone pun! Dia yang buat salah, tapi dia pulak yang merajuk. Dah la ... (terhamburlah semua kekurangan si Adam tuh)." A'ah, tenang la sangat.

Paling tak best, bila perempuan yang marah, si Adam pun ikut merajuk sekali. Bukannya nak pujuk. Perempuan pula yang kena pujuk balik. Apakah ini! Tak sweet!!!

Sebab ...

Tapi kalau dengan Dia, tak pernah ada kes main tarik-tarik tali ni. Sebab yang pasti, Dia takkan pernah merajuk dengan ana walau apa pun yang ana buat. Dan setiap kegelisahan, kesedihan, kesulitan, Dia pasti sentiasa menemani ana, mengurangkan bebanan perasaan. Dan takkan pernah berhenti. Sweet kan?!

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram."
(Ar-Ra'd: 28)


Yang Pasti, Dia pun Rindukan Ana Juga!

Allah ni sweet. Dia bagi ana banyak sangat nikmat yang takkan mampu ana hitung. Tapi tulah. Dah pun namanya manusia. Yang bermaksud pelupa.

Ada ketika ana buat tak tahu saja dengan Dia. Dia sentiasa ada saja dekat sisi. Tapi terkadang ana tak layan pun Dia. Tapi, Dia tetap juga bagi ana macam-macam nikmat. Ana pula tak berterima kasih pun dekat Dia. Sebab bila ana syok sendiri sangat, lupa bahawa Dia yang sebenarnya bagi kat ana setiap sesuatu itu. "Ek" betulana kat Dia, kan!

Tapi ... Dia sangat sweet... Dia pun rindu ana juga. Dia nak ana ingat dekat Dia. Dia nak ana sebut nama Dia. Dia nak ana minta tolong pada Dia. Sebab kalau boleh, Dia memang nak bagi semua benda yang ana minta on the spot! Tang tang tu juga Dia boleh bagi. Tapi ada yang Dia hold dulu. Sebab Dia nak ana dapat yang lagi BEST!.


"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)

Jadi, bila Dia dah mula rindukan ana, Dia bagi ujian. Dia bukan nak susahkan ana. Tapi sebab Dia nak tahu, betul ke ana cintakan Dia? Dekat bibir kata cinta, tapi dekat hati macam mana? Dan paling penting, Dia nak ana ingat dekat Dia. Sebab Dia sangat-sangat rindu dekat ana. Jadi bila diuji, ana rasa sedih, ana rasa payah, ana rasa sakit. ana mesti menangis! Tapi, bila macam ni, satu kata yang pasti ana sebut. Dan ana sangat pasti bukan hanya ana , tapi kita semua pasti akan sebut ... "Ya Allah!"

Dan Dia pasti akan gembira. Sebab kita sudah ingat Dia balik. Rindu yang terlerai ...

Sweet~~~



Semoga mampu untuk berjumpa di alam sana ... 

Andai mungkin hati ingin mengungkap kata rindu ,

ia belum cukup terzahir dengan kalimah-kalimah biasa.

Pada Allah, Sang Pencipta rasa cinta,

sampaikan salamku buat habibati tercinta.


Ameen.

"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu..." (Al-Baqarah, 152)


Dia Pendamping Abadi

Dia sangat memahami ana. Betul, Dia sayang ana. Tapi, Dia pun tahu fitrah seorang hamba, yang Dia sendiri ciptakan. Setiap manusia perlukan pendamping. Yang bersifat sama. Seorang hamba.

Jadi setiap orang dah ditentukan jodoh masing-masing. Termasuklah ana sendiri. Tapi, semua orang hendak yang terbaik. SWT. Ana pun! Dan Dia tahu ana hendakkan yang terbaik. Oleh kerana sayangnya Dia pada ana, Dia hadiahkan ana satu nasihat. Takkan sama kaca dengan permata. Kita meminta emas, takkan kita hendak berikan gangsa? 


Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah. Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa.

“Prayer is the best armor against all trials”.

Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.

"... sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula)..."
(An-Nur: 26)

Saat itu, takkan pernah tercepat. Dan takkan sekali-kali terlambat. Bila si dia di sisi, yang pasti Dia tetap di hati.

Duhai ya sodiqi wa sodoqati yang disayangi,

Sudah anda berkenalan dengan Allah? Kalau belum, mulakanlah perkenalan. Bimbang kalau terlambat. Dan awak takkan pernah sedar...   Yang Allah tu sweet~~


Moga hari esok kita bangkit dengan jiwa penuh syukur kerana masih diberi kekuatan untuk berdoa. Alhamdulillah ‘ala kulli hal.
Satu hari nanti… Bila permintaan kita dimakbulkan, pandanglah sejenak ke belakang. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
"… Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.” (Al-Imran, 9)








 Thank you Allah!