Seuntai Bicara Menggubah Rasa ✿


Assalamualaikum. Salam sesuci embunan pagi, sesinar suria yang meninggi, seriang kicau burung yang berlegar menari. Apa khabar kalian semua?

 Diharapkan semuanya sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja. Semoga tiap saat kita dalam peliharaan Yang Maha Esa. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa ke pipi, pohon nan hijau melambai-lambai lembut. ALLAH, ALLAH, ALLAH. Setinggi-tinggi syukur di rafakkan kepada Tuan Pemilik Dunia, sehingga saat ini masih DIA memberikan kita ruang, kesempatan, peluang untuk terus mengumpul saham akhirat bagi membuat persediaan menuju kehidupan yang akan kekal abadi. Kebelakangan ini langit selalu kelam, mendung. Tiada garisan mentari yang menyinarkan diri, awan biru bertukar menjadi hambar. Hanya ditemani dengan suasana suram, titis-titis hujan yang tetap setia menerokai hari-hari. Bangun tidur tadi ucap alhamdulillah tak? ALLAH bagi peluang pada kita hidup lagi tau. Ucap terima kasih pada ALLAH tak? DIA dah bagi macam-macam nikmat kat dekat kita. Nikmat kehidupan yang sangat sempurna. Haaa! Cuba teliti ada yang kurang tidak dekat diri kita? Ujian? Itu tak payahlah persoalkan. Hidup mana manis andai tak dilambung gelora. Tak tercabarlah hati kita. Ye tak? ALLAH uji bersebab. Hendak tengok sejauh mana ketetapan hati kita pada DIA. Hendak tengok kita faham tidak hakikat hidup sebenar  dekat dunia ni. Lepas ALLAH bagi ujian, ALLAH bagi kenikmatan kan? Haaa, bukan setiap yang berlaku tu ada hikmahnya. Itupun hendak pertikaikan lagi. Tak malu pada ALLAH ke? Sudah diuji sedikit, hendak mengeluh macam-macam. Habis nikmat yang ALLAH bagi selama kita hidup ni, ALLAH tak berkira pun.


Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana ALLAH, hidup ini umpama roda. Terkadang kita di awanan tinggi, tiba masa kita tersungkur di bumi. Jika saat ini kita sedang berduka, sedih menghadapi hidup, langkahan kita jatuh tanpa ada yang menyambut, perjalanan kita tersungkur di persimpangan laluan, kita ditinggalkan keseorangan menentang badai, sedarilah bahawa masih ada yang bersama kita. Tidak lain tidak bukan ALLAH Yang Maha Esa. Tatkala saya mencoretkan catatan ini, hati saya juga sedang di uji. Terasa bagai sudah berada di penghujung perjalanan ini, tidak mampu memayungi seorang diri. Jiwa lemah tidak mampu menghadapi. Namun gagahi jua langkah kaki ini, biarpun perit, duka, tangis, pilu membelenggu diri. Kesedihan saya saat air mata jatuh ke bumi ALLAH ini. Hanya mampu mengesatnya dengan melafazkan kalimah ALLAH. Zikrullah adalah yang terbaik. Setiap perpisahan itu pasti ada suratan takdir yang telah ditentukan. Sungguh. Saya juga manusia biasa. Takkan sirna memori itu, ia segar di ingatan. Saya pasti merangkul kemas tubuh ini, sungguh erat kasih kita dalam persahabatan. Aduhai ya sodiki! Dirimu bak kain putih. Namun saya mendoakan ada lakaran warna nan indah dalam dirimu. Di kejauhan kita saya akan terus menongkah badai. Menyahut seruan Ilahi. Di tanah gersang mengaut khazanah ilmu. Moga dirimu nun di sana. Masih ada sinar hidayah bersama. Saat menitis air mata hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. 

Rasulullah bersabda, “Peliharalah ALLAH, nescaya engkau akan dapatiNYA di hadapan engkau. Kenalilah ALLAH ketika senang, nescaya DIA akan mengenalimu ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang ditakdirkan tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas daripada kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.” (Riwayat Al-Tabrani)

Di bumi fana ini, ALLAH menciptakan pelbagai musim untuk dinikmati oleh kita, hamba yang menghuni dunia ini. Begitulah juga dengan takdir ALLAH. Pelbagai takdir ALLAH lakarkan untuk kehidupan kita. Setiap orang ada jalan cerita yang tersendiri untuk dijalani. Biarpun berbeza takdir yang kita harungi, namun destinasi kita tetap sama, menuju akhirat yang abadi. ALLAH memberi kita khabar gembira dalam firmanNYA:

 “Maka sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyhirah:5) 

Awan hitam sedang berarak mengelilingi langit TUHAN. Ianya hanya menanti masa untuk gugur jatuh ke bumi ini. Maka titis-titis hujan pun galak mencurah-curah, membasahi diri, dan membanjiri bumi. Usah hujan berhenti langit yang kelam tadi, bertukar menjadi cerah, dihadiahi lagi sebuah pelangi indah. Persis kembara kita di dunia ini, ALLAH itu takkan pernah berhenti menguji kita. Namun ketahuilah, diibaratkan seperti hujan. Hujan yang turun pasti akan berhenti, begitu juga setelah hadir mendung kelam pasti akan diganti langit yang cerah. ALLAH sering menguji namun ALLAH itu tidak lupa untuk menghadiahi kita sebuah kebahagiaan hasil kesabaran kita menjalani hari.


Bagaikan sebuah pelangi, hadirnya sekali sekala, malah kelibatnya takkan dapat kita duga. Begitulah juga bahagia, hadirnya tak menentu masa namun bersedialah menerima kunjungannya kerana semua orang layak memiliki bahagia.

Hidup ini adalah pentas untuk membuktikan penghambaan dan penyerahan diri kita kepada ALLAH. Dunia ini ibarat pentas lakonan, berlumba-lumbalah untuk melakonkan watak yang diberikan tanggungjawab dan amanah oleh ALLAH itu dengan sebaiknya. Jangan pernah berhenti berdoa daripada memohon pertolongan kepada ALLAH. Jangan pernah berputus asa daripada rahmat ALLAH. 


Seiring dengan firmanNYA, “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH. Sesungguhnya tidaklah orang yang berputus asa daripada rahmat ALLAH, melainkan orang kafir.” (Surah Yusuf 12:87)

Serahkan segala urusan kita kepada ALLAH, dengan itu kejernihan dan ketenangan hati pasti kan kita miliki. Diibaratkan seperti sebatang pohon. Pohon yang besar mampu menahan ribut kerana mempunyai batang yang kukuh. Hanya bermula dari benih yang kecil, kemudian tumbuh menjadi sebatang pohon yang besar malah semakin kuat akarnya. Sebelum menjadi pohon yang kuat, ianya harus belajar menahan teriknya sang mentari, kuatnya hembusan angin, dinginnya titis hujan dan pelbagai lagi. Namun setelah melalui semua itu, daripada kelibat benih yang tidak terlihat, ia menjadi tunas yang bercambah mekar, dan akhirnya menjadi sebatang pohon yang besar dan rimbun. Ayuh, sama-sama kita koreksi diri dan belajarlah daripada kesabaran dan ketabahan sebatang pohon tadi. Jangan mudah kalah dengan keadaan dan suasana.


ALLAH mengingatkan kita dalam firmanNYA, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagi kamu. ALLAH itu mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah:216)

Setiap ketetapanNYA, pasti, pasti dan pasti ada hikmah dan rahsiaNYA yang tersendiri. Sabarlah dalam menanti sebuah pelangi. Percaya dan yakinlah dengan apa yang diberi olehNYA. Jangan pernah kecewa dengan takdir ALLAH. DIA mengetahui apa yang ada di hati kita, DIA juga tahu apa yang terbaik buat kita, kerana DIA yang telah menciptakan kita. Jadi sahabat-sahabat yang ana sayangi kerana ALLAH sekalian, bersabarlah dalam menjalani hidup ini. InsyaALLAH, ada hadiah yang menanti. Tetapkan hati, teguhkan langkahan kaki. Semoga ALLAH menghitung tiap air mata yang mengalir ini.


“Ya ALLAH, Zat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami pada ketaatan kepadaMU.” (Riwayat Muslim) 




''Bersyukur dengan kehadiran mereka, saya mampu lahir di dunia ini dengan merasai nikmat pemberianNya. Tiada lafaz seindah kata yang mampu mengubah rasa terhadap mereka, uhibbukafillah jamian ma, abah''



Sekian dulu, bertemu lagi di lain waktu. Diri ini sungguh sedih mengakhiri seuntai bicara pada kali ini. Salam Jihad & Salam Ukhwahfillah fi Jannah Ya sodiki~