Cantikkah kita? :)



Assalamualaikum. Selamat Pagi. Alhamdulillah masih diberikan peluang untuk bernafas. Pagi yang cerah, indah dan ceria. Bunga berkuntuman. Serangga berkejaran. Manusia pula? Membersihkan noda hitam pada hati dengan membaca أستغفرالله  dengan penuh tawadhu' dan benar-benar menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukan. Semalam adalah hari yang di mana saya sendiri melontarkan pandangan saya terhadap tajuk di atas kepada seorang hamba Allah yang sudi mendengarnya. Syukran sahabatku rasa lega dan senang hati sebenarnya dengan mengenali dirimu. Ya, diri ini amat merasakan bahawa jika diteliti tajuk ini sangat sesuai dijadikan satu renungan yang bermanfaat.

“Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat rupa fizikal kalian akan tetapi Allah SWT melihat hati dan kalian” [HR Muslim]

''Dik , kamu harus memakai niqob. Wajah kamu cantik, boleh mengundang lelaki memandang''
MUNGKIN ungkapan itu pernah di antara anda yang membaca khususnya kaum Hawa terima daripada seorang teman. Sebuah nasihat yang bersulam rasa keikhlasan daripada seorang teman, bukan perintah ataupun cemuhan. Memang, menjadi wanita yang cantik bukan perkara yang mudah. Mereka sering dipersalahkan menjadi punca apabila ada lelaki yang gagal menundukkan pandangan lantaran terpesong oleh kecantikan muslimah itu.

Mereka lahir dengan fizikal yang lebih baik dari yang lain. Itu adalah sebuah nikmat bagi mereka. Sebuah kurniaan Allah SWT untuk hambaNya, mungkin juga untuk menguji keimanan dan ketakwaannya. Maka jangan salahkan mereka apabila mereka cantik. Yang harus dipersalahkan adalah orang-orang yang masih nekad menggodanya, yang tidak terkawal keimanannya, yang tertewas dengan kecantikan yang dikurniakan Allah SWT terhadap seorang muslimah.


 Apakah dinamakan CANTIK yang SEBENARNYA?

Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif. Cantik atau tidak seseorang itu bukan terletak pada lentik bulu matanya, mancung hidungnya, bulat matanya dan cerah kulitnya atau apa-apa sahaja, namun kecantikan seseorang adalah pada mata yang memandang. Malah juga, diri seseorang kaum Hawa itu terasa amat tidak sempurna dan membataskan diri untuk tampil dengan penuh keyakinan. Kurang  cantik, kurang manis, kurang menarik dan kurang segalanya berbanding orang lain sehingga diri terasa  begitu terpinggir dari arus kehidupan yang sepatutnya. Perasaan seperti ini akan membenamkan jiwa kita lebih dalam ke dasar rasa rendah diri yang berlebihan.

Kita di bekalkan dengan kemahuan dan pilihan yang berbeza. Adilnya Allah menciptakan kita semua tidak sama, memiliki rupa yang berbeza, namun Allah menjanjikan kita semua akan memiliki pasangan dan tidak seorang pun dikecualikan.
Jadi apakah yang membuatkan ini terjadi?
Hal ini adalah kerana mata seseorang tidak di berikan hanya satu tarikan yang sama.  Semua manusia punya keinginan dan minat yang berbeza.  Jadi janganlah mudah mengejek dan mencaci seseorang hanya kerana paras rupa yang dimilikinya kerana ada dikalangan manusia di luar sana yang akan mengagumi wajahnya.  Allah akan mencantikkannya pada mata terpilih.
Ada yang sering tertanya-tanya dan merendahkan diri serta beranggapan bahawa kekurangannya tidak melayakkan dia untuk sesiapa.  Mengapa menghukum diri? Tidak percaya pada keadilan Allah?
Kecantikan terlalu unik untuk ditafsirkan.  Kekuasaan Allah yang maha besar menjadikan manusia yang berangka jutaan billion yang hidup di atas muka bumi mempunyai wajah yang berbeza! Subhanallah, padahal kita semua memiliki mulut, hidung, mata , telinga yang ada pada kedudukan yang tetap.  Tetapi tetap jua kita berbeza.
Rupa hanya lambang pengenalan diri kita.  Tetapi bukan ukuran kecantikan akhlak yang dimiliki.  Orang-orang yang beriman akan menilai kecantikan seseorang dari akhlak dan perwatakan.  Tetapi mereka yang memuja  materialistik akan melihat kecantikan dari luaran dan jasad semata.  Mereka hanya mengejar kepalsuan yang nyata akan hancur dimamah cacing tanah.  Sedangkan yang kekal hanyalah amalan-amalan yang ditanam dari kehidupan.
Kerana itu tatkala memilih jodoh, maka pilihlah yang beragama. Sememangnya rupa yang sedap dipandang itu perlu, namun apa erti cantik tanpa agama dan kesolehan diri.  Biarlah rupa tidak seberapa, kerana gayanya dan tutur katanya lembut akan meruntun jiwa si suami,  ketaatannya akan menjadikan suami menghargainya.
Mungkin sesuatu itu biasa sekali di pandangan mata, tetapi sangat indah di pandangan mata hati.  Kecantikan fana akan lenyap di telan masa, tetapi kesolehan yang dipelihara akan membawanya ke syurga.  Di syurga nanti tiada manusia yang tidak cantik, semuanya rupawan yang jelita.  Kecantikannya akan di gandakan oleh Allah.  Subhanallah!

Akhir kalam, pada pandangan saya terhadap isu ini Allah SWT tidak akan melihat halusnya kulit kita, tetapi melihat kedamaian iman kita. Allah SWT juga tidak akan melihat seberapa licinnya dahi kita, tetapi melihat kepada seteguh mana iltizam kita memperbaiki segala amal agar ia lebih sempurna. Allah SWT juga tidak melihat kepada betapa hebatnya lentur tubuh kita, sebaliknya tebal ketakwaan yang lebih diperhatikan Allah dalam menilai dan memberikan kedudukan kepada setiap hambaNya.. 


Kamu terlalu cantik dengan hiasan taqwa.  Tersangat cantik dengan memiliki jiwa yang ikhlas dan reda.  Itulah kecantikan yang akan kekal selamanya.


RENUNGAN BERSAMA :)